TAN MELAKA
Kuala Lumpur
SELEPAS tengah hari pada hari pengundian pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, tersebar luas seperti api kebakaran yang liar hingga ke Kuala Lumpur mengatakan kerajaan Barisan Nasional tumbang. Tetapi logik pemikiran saya menolaknya terutama kerana yang memberitahu saya ialah seorang rakan yang diketahui sebagai anti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.
Oleh kerana tidak bagitu pasti, saya meminta pengesahan beberapa orang kawan di Sarawak yang memberitahu bahawa khabar itu juga sedang tersebar di seluruh Sarawak. Tetapi seorang rakan di RTM Kucing memberitahu bahawa hal itu tidak benar.
Ternyata apabila keputusan rasmi diketahui, BN menang cemerlang walaupun kehilangan beberapa kerusi. Sokongan bumiputra Sarawak kepada Taib Mahmud adalah mantap.
Yang menjadi pertanyaan saya, kenapakah khabar palsu itu disebarkan menerusi telefon dan internet dan juga dari mulut ke mulut? Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Pada perhitungan saya, tujuan pertama pihak pakatan pembangkang menyebarkan khabar palsu itu adalah setelah dapat mencium dan mengetahui kekalahan supaya penyokong Barisan Nasional atau pengundi yang belum keluar mengundi, tidak keluar mengundi kerana tidak lagi akan dapat membantu untuk memulihkan kuasa BN.
Keduanya, untuk mendorong mereka yang keluar mengundi memberi undi kepada pihak telah pasti menang bagi memperteguhkan lagi kedudukan mereka. Apa guna lagi memberi undi kepada pihak telah kalah.
Strategi dan taktik kotor pakatan pembangkang ini tentulah tidak diduga sama sekali oleh BN. Saya sendiri hampir percaya tetapi dibantu oleh pengalaman dan mengetahui kekuatan akar umbi pimpinan Taib Mahmud, khabar angin itu tidak saya terima bagitu mudah. Tetapi tidaklah semua rakyat biasa yang akan dapat berfikir dan merasionalisasikan pemikiran apabila berhadapan dengan situasi seperti ini.
Maka itu, saya amat mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan dilakukan pada pukul empat petang walaupun pusat terbabit ditutup lebih awal.
Ini akan dapat mencegah langkah kotor mana-mana pihak untuk mendapat undi rakyat menerusi pembohongan dan taktik kotor yang boleh mengelirukan rakyat.
Saya angkat topi kepada SPR yang sensitif terhadap apa yang berlaku pada hari pembuangan undi pilihan raya Sarawak lalu dan mengambil langkah supaya ia tidak berulang demi untuk mempastikan perjalanan pilihan raya yang sihat dan demokrasi yang bersih.
Tetapi kita tidak akan dapat menduga apakah lagi strategi pembohongan, penipuan dan taktik kotor yang dilakukan pakatan pembangkang. Rakyat mestilah berwaspada dalam menerima khabar daripada anasir pembohong dan penipu yang mudah untuk dikenali sekarang ini kerana mereka mendedahkan budaya mereka dari semasa ke semasa.