Pages

Subscribe:

Wednesday 28 September 2011

Kementerian Baru, 7 Muka Baru Rombakan Kabinet Sarawak

KUCHING 28 Sept. - Rombakan Kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menyaksikan pembentukan sebuah kementerian baru, lima kementerian ditukar nama dan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda.

Kementerian baru dalam rombakan kabinet, yang akan berkuatkuasa Jumaat ini, ialah Kementerian Pembangunan Kebajikan, Wanita dan Keluarga yang akan diketuai Datuk Fatimah Abdullah dan dibantu dua Menteri Muda yang juga muka baru iaitu Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat Vincent.

"Muka-muka baru Menteri Muda lain ialah Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr. Jerip Susil dan Liwan Lagang,” kata Taib pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Kesemua Menteri Muda baru itu akan mengangkat sumpah jawatan Jumaat ini.

Taib berkata, Julaihi dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar; Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr. Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) manakala Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan).

"Kesemua menteri penuh dikekalkan dan sebahagian kementerian mereka ditukar nama,” kata Abdul Taib. 

BERNAMA

Tuesday 27 September 2011

PAS-DAP Tidak Pernah Serius Isu HUDUD

PUTRAJAYA 27 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perbalahan antara Pas dan DAP berhubung isu hukum hudud tidak akan membawa keretakan ikatan antara dua parti itu dalam pakatan pembangkang.

Menurutnya, ini kerana kedua-dua parti itu tidak pernah menunjukkan keseriusan mereka sama ada untuk melaksanakan atau tidak hukum hudud tersebut.

"Saya tidak hairan selepas ini mereka akan lupakan (perbalahan) oleh sebab perjanjian yang telah dibuat sesama mereka (sebelum ini).

"Rakyat pun tahu, ini cakap sahaja tetapi tidak serius, hanya sekadar untuk dapatkan sokongan dan perhatian pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima buku Monsoon Cup 2010: The Memories dari Pengerusi Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest), Tan Sri Sabaruddin Chik di sini, hari ini.

Buku kenangan berharga RM148 itu menceritakan tentang sukan perahu layar tersebut sejak acaranya dilaksanakan pada 2005 hingga tahun lalu.

Ketika ini dikatakan perbalahan antara Pas dan DAP kian memuncak dalam isu pelaksanaan hukum hudud menyebabkan kedua-dua parti berkeras dengan pendirian masing-masing.

Bagaimanapun, Abdullah percaya isu tersebut tidak akan menjejaskan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi kempen PRU-13.

"Tidak akan menjejaskan BN kerana ia sudah lama diputuskan dan kita masih konsisten tentangnya," katanya.

Menyentuh mengenai Piala Monsoon, beliau berkata, acara sukan tahunan itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan di sekitar kawasan Pantai Timur.

"Ini kerana sehingga kini acara sukan itu disiarkan di 183 negara seluruh dunia dan saya berharap Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) boleh menjadikan sukan itu sebagai tarikan pelancong ke Pantai Timur," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Sunday 25 September 2011

HUDUD : Nik Aziz Sudah 'TERLUPA' Kenyataan Karpal

BATU PAHAT 25 Sept. - "Kalau dia (Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat) hendak laksanakan hudud, langkahlah mayat Karpal Singh terlebih dahulu."

Demikian sindiran Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyifatkan Nik Abdul Aziz sering 'terlupa' ketika membuat kenyataan mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Karpal sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Islam perlu terlebih dahulu melangkah mayatnya.
Selain mengingatkan Nik Abdul Aziz terhadap kenyataan Pengerusi DAP itu, Mohd. Puad turut menyindir pemimpin Pas itu yang dianggapnya terlupa dengan resolusi Muktamar Pas yang menggugurkan perjuangan membentuk negara Islam.

"Jadi, pada saya memang Nik Aziz ini terlupa dengan resolusi Muktamar Pas lepas yang menggugurkan perkataan perjuangan Islam, membentuk negara Islam di Malaysia dan diganti dengan negara berkebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Meraikan Bakal Haji dan Pembukaan Akaun Tabung Haji Murid-murid Sekolah Rendah kawasan Parlimen Batu Pahat di Dewan Senggarang, di sini hari ini.

Seramai 300 murid dari lima sekolah dipilih membuka akaun sebanyak RM10 setiap seorang manakala kira-kira 200 bakal haji mendapat pelbagai sumbangan antaranya kain ihram, telekung, kad i-Talk dan wang tunai 100 riyal.

Mohd. Puad berkata, Karpal dan DAP yang menjadi penghalang utama untuk melaksanakan hukum hudud dan bukannya Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

"Kalau kita pinda Perlembagaan Persekutuan pun, yang dikatakan tidak kondusif untuk melaksanakan hudud, DAP dan Karpal akan bantah," katanya.

Sementara itu, beliau yakin masyarakat dapat menilai mengenai masalah ketiadaan keselarian dalam pakatan pembangkang dan parti itu tidak mampu menerajui negara.

Beliau juga yakin kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai isu hukum hudud adalah di luar kehendak Pas memandangkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini belum membuat sebarang ulasan tentang kenyataan Mursidul Am Pas itu.

Beliau juga menyatakan, pakatan pembangkang kini terperangkap dengan pelbagai kerenah yang dibuat oleh Pas dan DAP.

UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...