Pages

Subscribe:

Tuesday 11 October 2011

Belanjawan 2012 Menyentuh Hati Rakyat

Bajet 2012 dijamin berjalan ikut jadual

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin pada mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-113 di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA
 
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan pelaksanaan bagi menunaikan janji-janji kerajaan yang digariskan dalam Bajet 2012 akan berjalan mengikut jadual.

Perdana Menteri memberi komitmen itu dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-113 yang dipengerusikan beliau di Bangunan Perdana Putra di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut menyertai mesyuarat selama lebih dua jam itu berkata, justeru Perdana Menteri telah meminta kerjasama semua kerajaan negeri supaya menangani segala hambatan yang boleh mengekang pencapaian matlamat Bajet tersebut.

“Ini antaranya melibatkan pengambilan tanah di negeri-negeri dan kelulusan pelan.

“Perdana Menteri menyatakan peruntukan yang dinyatakan beliau dalam Bajet 2012 itu adalah atas kemampuan kita (negara), kita ada duit dan apabila dilaksanakan nanti, barulah terjawab tohmahan pembangkang (yang mendakwa ia tidak realistik)...buku jingga pembangkang mana boleh lawan (Bajet 2012), kita lebih baik,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mesyuarat itu yang bermula pukul 10 pagi ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Selain Mohd. Ali, turut serta ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu selain beberapa menteri kabinet.

Mohd. Ali berkata, Perdana Menteri turut menaruh keyakinan tinggi bahawa Bajet 2012 akan mampu mengurangkan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

“Kata Perdana Menteri, dasar kerajaan yang inklusif (yang tercerna dalam Bajet 2012 tersebut) tidak lari dari falsafah Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, pendekatan turut mengambil kira ekonomi luaran yang lemah dan beliau (Najib) mengingatkan yang penting ialah supaya semua pihak sama ada kerajaan dan swasta bersama-sama mengukuhkan permintaan domestik,” kata Mohd. Ali.

Menurut beliau, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang hadir turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2012 yang disifatkan memenuhi cita rasa semua kaum dan masyarakat berpendapatan rendah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...